SAINS T5 – Topik 5.5: Saponifikasi

by Cikgu Azhar
0 comment

Penerangan Sains Tingkatan 5 KSSM bersama-sama Cikgu Mohd Azhar. Murid adalah digalakkan menonton video yang disediakan di blog cikguazhar.com. Bagi murid yang mengikuti audio podcast, murid-murid PERLU mendengar penerangan ini berbantukan buku teks Sains Tingkatan 5 m/s 167 (Sasbadi Sdn Bhd) atau juga boleh dilihat di pautan ini (Buku Teks Sains Tingkatan 5) atau sambil mengikuti nota yang disediakan di bawah.

Podcast

Youtube

Sabun merupakan garam asid lemak yang diperolehi melalui tindak balas antara minyak sawit dengan alkali pekat. Proses penghasilan sabun dikenali sebagai proses saponifikasi.

Minyak masak dipanaskan bersama sama dengan larutan natrium hidroksida dan kemudian ditambah dengan air suling dan natrium klorida iaitu garam. Campuran seterusnya dipanaskan sehingga terbentuk pepejal putih pada permukaan campuran. Pepejal putih ini ialah garam asid lemak iaitu sabun dan seterusnya sabun diuji dengan menggunakan air suling yang digoncang di dalam tabung uji untuk melihat buih yang terhasil dan kemudian diuji dengan menggunakan kertas litmus merah. Kertas litmus merah bertukar kepada warna biru menunjukkan sabun adalah bersifat alkali.

Proses Saponifikasi

Sabun terdiri daripada 2 komponen utama iaitu kepala yang bersifat hidrofilik dan ekor yang bersifat hidrofobik. Hidrofilik ialah bahagian kepala yang dapat melarut di dalam air yang terdiri daripada komponen ionik manakala hidrofobik ialah bahagian ekor yang tidak melarut di dalam air tetapi melarut dalam minyak atau gris. Hidrofobik terdiri daripada rantai hidrokarbon.

Tindakan pencucian sabun.
Bahagian ekor molekul sabun yang hidrofobik akan melarut dan melekat dalam kotoran bergris manakala bahagian hidrofilik melarut di dalam air.

Tindakan menggosok atau memberus kain atau pergerakan air akan menanggalkan kotoran bergris daripada permukaan kain dan menjadi titisan garis yang dikelilingi oleh mereka sabun dan terampai di dalam air.

Air sabun yang memerangkap titisan gris tadi oleh buih-buih sabun yang dihasilkan akan disingkirkan semasa membilas dan kotoran gris turut dibuang bersama

Sabun dihasilkan melalui proses Saponifikasi

Pengurusan Lestari adalah penting dalam industri kelapa sawit termasuk penggunaan tanah secara optimum, air sisa kilang minyak sawit yang dijadikan sebagai baja organik dan bahan biogas, membantu kepada peningkatan kualiti udara dengan mengurangkan karbon dioksida dan membebaskan lebih banyak oksigen menerusi proses fotosintesis dan pengurusan industri yang mengamalkan sifat sisa ataupun zero waste yang menukarkan sisa kelapa sawit kepada pelbagai jenis produk yang bermanfaat.

Antara jenis sisa kelapa sawit ialah pelepah dijadikan sebagai baja, batang pokok sebagai bahan gantian kayu tandan sebagai kompos, tempurung digunakan untuk mendidihkan air, sabut dijadikan sebagai permaidani atau tekstil dan POME (Palm Oil Mill Effluent) dijadikan sebagai biogas dan baja.

Sumber imej: freepik.com

You may also like

Leave a Comment