SAINS T5 – Topik 6.1: Sel Elektrolitik (Pengenalan Elektrosis)

by Cikgu Azhar
0 comment

Penerangan Sains Tingkatan 5 KSSM bersama-sama Cikgu Mohd Azhar. Murid adalah digalakkan menonton video yang disediakan di blog cikguazhar.com. Bagi murid yang mengikuti audio podcast, murid-murid PERLU mendengar penerangan ini berbantukan buku teks Sains Tingkatan 5 m/s 178 (Sasbadi Sdn Bhd) atau juga boleh dilihat di pautan ini (Buku Teks Sains Tingkatan 5) atau sambil mengikuti nota yang disediakan di bawah.

Podcast

Youtube

Elektrokimia adalah berkaitan dengan kajian untuk melihat perkaitan antara fenomena elektrik dengan kimia. Terdapat dua jenis sel elektrokimia iaitu sel elektrolitik dan sel kimia. 
Dalam sel elektrolitik arus elektrik dialirkan melalui elektrolit untuk menghasilkan tindak balas kimia dan perubahan tenaga berlaku daripada tenaga elektrik kepada tenaga kimia melalui proses elektrolisis.
 
Dalam sel kimia perubahan kimia berlaku untuk menghasilkan arus elektrik dan perubahan tenaga yang berlaku ialah daripada tenaga kimia kepada tenaga elektrik dalam sel tersebut.
Elektrolisis ialah proses penguraian sesuatu sebatian dalam keadaan leburan atau akueus kepada unsur juzuknya apabila arus elektrik dialirkan.
 
Sel ektrolitik terdiri daripada sumber elektrik seperti bateri. Elektrod yang terdiri daripada anod dan katod. Anod adalah elektrod yang disambungkan kepada terminal positif sumber elektrik manakala katod merupakan elektrod yang disambungkan kepada terminal negatif sumber elektrik. 
Elektrolit ialah bahan yang boleh mengalirkan arus elektrik dalam keadaan leburan atau akueus dan mengalami perubahan kimia. Contoh elektrolit ialah plumbum (II) bromida, natrium (II) klorida, natrium hidroksida dan kuprum (II) sulfat. Bukan elektrolit ialah bahan yang tidak dapat mengalirkan arus elektrik dalam keadaan leburan atau akueus seperti naftalena, asetamida, larutan glukosa dan etanol.
 
Elektrolit merupakan sebatian ion dalam keadaan leburan dan akueus terdiri daripada ion positif iaitu kation dan ion negatif yaitu anion. Sebagai contoh natrium klorida terdiri daripada ion natrium sebagai kation manakala ion klorida sebagai anion.
 
Sumber imej: freepik.com

You may also like

Leave a Comment