Twitter merupakan sejenis aplikasi media sosial berbentuk mikroblogging. Penggunaan Twitter bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia sama seperti penggunaan aplikasi media sosial yang lain seperti Facebook, Instagram, Youtube dan sebagainya. Namun dalam kalangan cikgu di Malaysia, ramai yang menggunakan Facebook dan whatsapp atau telegram sebagai medium komunikasi dalam pengurusan pendidikan dan PdPc mereka. Sebaliknya di luar negara, Twitter lebih banyak digunakan oleh golongan professional seperti pendidik yakni guru, ahli akademik, ahli politik dan ramai lagi dalam komunikasi harian mereka.
Antara ciri-ciri yang ada pada Twitter adalah seperti tweet, retweet, retweet dengan komen, tweet undian, tweet pautan dan sebagainya. Ciri-ciri ini boleh membantu komunikasi harian cikgu. Dengan siapa kita hendak berkomunikasi, maka penggunaan tag rakan-rakan cikgu (seperti @mohd_azhars) atau pelajar-pelajar membolehkan cikgu mewujudkan rangkaian komunikasi sendiri. Berkaitan apa yang akan dikomunikasikan, guru boleh menggunakan hashtag (seperti #notasains). Post-post di Twitter boleh dilakukan pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai dan secara tidak langsung info-info yang dipostkan ke Twitter dapat mewujudkan satu platform komunikasi yang membolehkan membantu pembelajaran pelajar.
Berdasarkan kepada pembacaan saya, ingin saya kongsikan beberapa kelebihan sekiranya aplikasi Twitter ini digunakan oleh cikgu:
1. Berkongsi Idea
Apa sahaja idea baharu sama ada berkaitan denga PdPc, PAK21, pedagogi, teknologi pendidikan atau yang berkaitan dengan pengetahuan atau amalan pengajaran baharu, cikgu-cikgu boleh berkongsikan dengan rakan-rakan guru yang lain bukan sahaja di Malaysia bahkan para pendidik di seluruh Dunia. Manalah tahu, Menteri Pendidikan Malaysia kita reply tweet cikgu..😄
2. Perkongsian Bahan PdPc
Sumber atau bahan PdPc yang diperolehi sama ada laman web, imej atau video boleh dikongsikan dengan semua cikgu dan pelajar dan bukan hanya dalam komuniti sekolah sendiri sahaja bahkan komuniti pendidik seluruh Malaysia. Selain itu juga guru boleh mendapatkan bahan berkaitan PdPc menerusi beberapa akaun Twitter Pendidikan seperti Tutor TV SPM (@TutorTVSPM) dan Tutor TV PT3 (@TutorTVPT3).
3. Medium Pengumuman
Cikgu boleh membuat pengumuman berkaitan aktiviti persekolahan seperti mesyuarat kelab dan persatuan, aktiviti perkhemahan, kokurikulum, hari anugerah kecemerlangan, hari sukan sekolah dan lain-lain pada bila-bila masa. Salain itu, pihak sekolah turut boleh menjadikan aplikasi Twitter ini sebagai medium pengumuman rasmi sekolah.
4. Komunikasi dengan Ibu Bapa
Cikgu juga boleh menyebarkan info atau aktiviti-aktiviti berkaitan dengan persekolahan dan pelajar-pelajar dengan ibu bapa. Ramai ibu bapa sekarang aktif menggunakan media sosial. Apa salahnya kali ini dedahkan mereka dengan aplikasi komunikasi yang lebih pelbagai. Foto dan video yang di-tweet akan memberikan informasi terkini kepada ibu bapa.
5. Info Sahih Pendidikan
Cikgu-cikgu boleh mendapatkan info sahih berkaitan dengan pengumuman atau dasar baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing melalui aplikasi Twitter dengan lebih cepat dan sudah pastinya sahih dan tepat. Berikut adalah antara akaun Twitter yang cikgu-cikgu boleh follow:
- Menteri Pendidikan Malaysia (@maszlee)
- Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia (@TeoNieChing)
- Kementerian Pendidikan Malaysia (@KemPendidikan)
- Lembaga Peperiksaan Malaysia (@lp_kpm)
- Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (@edusarawak)
6. Rangkaian Bersama Edufluencer
Selain itu cikgu-cikgu juga boleh mewujudkan suatu rangkaian komunikasi bersama para edufluencer untuk mendapatkan idea yang dikongsikan oleh mereka dan juga untuk berkongsikan idea cikgu-cikgu kepada mereka. Antara mereka adalah Cikgu Hailmi (@cikguhailmi), Cikgu Razif a.k.a Cikgu Siber (@cikgu_siber), Cikgu Romie (@cikguromie), Dr Hafiz Hanif (@drhafizexplains) dan ramai lagi.
Sekadar itu sahaja perkongsian hasil pembacaan saya menerusi beberapa blog pendidikan dan tontonan video di Youtube. Semoga dapat memberikan manfaat kepada saya dan juga para pembaca.